RAKYAT PELBAGAI KAUM TERUS TERIMA BANTUAN MAKANAN DARI SULTAN JOHOR
Rakyat berbilang bangsa di Johor tersentuh dengan kurniaan bantuan makanan daripada DYMM Sultan Johor yang disampaikan kepada golongan memerlukan secara berterusan.
Bantuan makanan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) disampaikan kepada penerima dipelbagai kawasan penempatan seluruh Johor dalam meringankan beban rakyat.
Pada hari ini (23 September), kurniaan bantuan makanan disampaikan kepada 289 penerima dari sekitar Mukim Ulu Benut, Simpang Renggam.
Bantuan disampaikan Yang Berhormat Mejar Cina Dato’ David Wong kepada Penghulu Mukim Ulu Benut, Musa Marzuki.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah, Nurul Nadiah Mohd. Shah bersama Ketua-Ketua Kampung Bukit Kenangan, Kampung Parit Hj. Hashim, Kampung Parit Hassan, Kampung Parit Ibrahim Majid serta Kampung Paya Palembang.
Musa berkata, kurniaan bantuan makanan itu besar nilainya kepada penerima di mana ada segelintir yang menghidapi pelbagai penyakit kronik.
“Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor di atas kurniaan Baginda untuk rakyat memerlukan.
“Sesungguhnya kurniaan ini besar nilainya kepada penerima yang berdepan pelbagai cabaran ekonomi pada pandemik ketika ini,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor